Angkatan Wanita Sedar (AWAS) di Perak 1947

Fadzil Haji Aziz

AWAS adalah sayap di bawah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Ditubuhkan pada akhir 1946. AWAS pada awalnya dipimpin oleh Khadijah Ali kemudian Aishah Ghani dan seterusnya oleh Shamsiah Fakeh. Pekik perjuangannya ialah “AWAS”, dan sewaktu pekikan ini diteriakkan, tangan kanan digenggam dengan jari telunjuk ditegakkan seperti isyarat memberi amaran.

Yang menariknya, tiga orang tokoh AWAS iaitu Shamsiah Fakeh, Aishah Ghani dan Sakinah Junid mempunyai asas pendidikan yang sama dari Sekolah Arab Diniah Puteri di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia.

Bezanya adalah selepas AWAS dibubarkan Aishah Ghani menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO, Shamsiah Fakeh masuk ke dalam hutan menyertai gerila PKM dan Sakinah Junid yang merupakan anak ulama Sheikh Junid Taha, menjadi Ketua Muslimat PAS.

Teringat kisah AWAS di Perak yang dipimpin oleh Sakinah Junid pada 14 Februari 1947.

Angkatan Pemuda Insaf (API) akan mengadakan ulangtahun yang pertama di Kuala Kangsar.

Seluruh anggota AWAS dan API Padang Rengas seramai 300 telah menunggu bas.

Tetapi malangnya tiada satu pun bas dan kenderaan yang mahu berhenti kerana telah diarahkan oleh pihak Inggeris pada masa itu.

Akhirnya Sakinah Junid telah bersuara, “Di Indonesia seluruh pemuda dan pemudinya berjuang menitiskan darah demi mempertahankan kemerdekaan yang telah mereka proklamirkan (isytiharkan)

“Kita pemuda dan pemudi Malaya belum lagi diminta berbuat demikian melainkan baru diminta sekadar menitiskan peluh sahaja. Ayuh! mari kita berjalan kaki ke Kuala Kangsar.”

Wanita-wanita AWAS yang lain menyahut, “Mari” seterusnya menyambung”.

Saudara-saudara pemuda API bagaimana? Adakah bersedia untuk berjalan bersama kami? Kalau tidak bersedia tinggallah, tetapi sebelum itu saudara-saudara harus sedia bertukar pakaian dengan kami daripada AWAS.”

Akibat tercabar pemuda API turut serta berjalan kaki kaki bersama pemudi AWAS sejauh 6 batu ke Kuala Kangsar sambil menyanyi lagu “Darah Rakyat dan Dari Barat sampai ke Timur.”

Gambar: AWAS di Melaka. Shamsiah Fakeh bersama Aishah Haji Hussein (isteri Pak Sako) memegang sepanduk. Sekadar hiasan.

Sumber: Ahmad Boestamam, Merintis Jalan ke Punchak, Zaiton Ghani, Sejarah Masyarakat Melayu Moden, UM, Dr.Mahani Musa, Jurnal
Wanita Melayu, Kesedaran Pendidikan dan Pembentukan Masyarakat Malaysia Moden.

Tinggalkan komen

Design a site like this with WordPress.com
Mulakan